MMC jual kepentingannya dalam Red Sea Gateway di Jeddah



KUALA LUMPUR: MMC Corporation Bhd yang memegang 20 peratus kepentingan ekuiti dalam Red Sea Gateway Terminal Company Ltd (RSGT), akan menjual lapan peratus kepentingan langsungnya dalam pengendali terminal kontena di Jeddah itu pada harga 211.1 juta riyal (RM227.6 juta).

Syarikat itu menandatangani perjanjian berasingan dengan dana kekayaan negara Arab Saudi, Public Investment Fund (PIF) dan COSCO Shipping Ports Ltd bagi melaksanakan cadangan penjualan itu yang masih tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Pelabuhan Arab Saudi (Mawani) serta lain yang berkaitan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, ia berkata pemegang saham lain dalam RSGT seperti Saudi Industrial Services Company Xenel Industries Ltd dan Saudi Trade & Export Development Company Ltd yang secara bersama memegang 80 peratus kepentingan, turut memeterai perjanjian dengan PIF serta COSCO bagi melepaskan 32 peratus kepentingan dalam RSGT.

Apabila transaksi cadangan itu selesai, jumlah pegangan ekuiti PIF dan COSCO adalah 40 peratus (20 peratus setiap satu) manakala unit milik penuh MMC, City Island Holdings Ltd memegang 20 peratus kepentingan dalam Red Sea Ports Development Company yang memiliki 60 peratus kepentingan ekuiti dalam RSGT.

Menurut MMC, tanpa mengambil kira sebarang perkara di luar jangka, transaksi cadangan itu dijangka selesai pada separuh pertama 2021.

-BERNAMA

Comments