Ekonomi Malaysia tahun ini dijangka tumbuh lebih baik- Gabenor BNM



PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia tahun ini dijangka tumbuh lebih baik dengan sokongan permintaan luaran yang meningkat serta ekonomi domestik yang kembali normal.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ia berdasarkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua tahun ini yang tidak seteruk tahun lalu.

Tambahan lagi, kata beliau, sektor-sektor ekonomi yang penting dan utama juga dibenarkan beroperasi ketika tempoh PKP, menjadikan kesan yang dirasai ekonomi tidak begitu parah.

“Pertumbuhan ekonomi akan dipengaruhi PKP, tetapi kesannya tidak seteruk pada 2020.

“Trajektori pertumbuhan dijangka lebih baik dari suku kedua dan seterusnya dengan dorongan pemulihan permintaan global serta program vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang dijalankan secara maya semalam.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Kata beliau, pihaknya akan sentiasa memerhatikan perkembangan yang berlaku baik dari segi pelaksanaan PKP, corak kes jangkitan Co­vid-19, program vaksinasi atau perkembangan ekonomi dunia.

“Saya berharap semua pihak boleh bersabar sedikit kerana kami akan berbincang lagi pada bulan hadapan,” katanya.

Comments